KSSR, Kurikulum Standard Sekolah Rendah
Bahagian Pembangunan Kurikulum – Ministry of Education
KURIKULUM Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan sebagai usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada bagi memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21.
Pelaksanaan KSSR menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) bermula sesi persekolahan Januari lalu bertujuan meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran bahasa Inggeris.
KSSR digubal dalam pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan pembelajaran yang perlu dicapai murid dalam satu tahap persekolahan.
Standard Kandungan ialah penyataan spesifik mengenai perkara murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai, manakala Standard Pembelajaran ialah penetapan kriteria atau petunjuk kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.
Berikut adalah soal jawab KSSR bagi membolehkan kita memahami konsep diperkenalkan Kementerian Pelajaran.
Apakah perbezaan KSSR dengan KBSR?
KSSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan 6 tunjang iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan, Perkembangan Fizikal dan Estetika; Sains dan Teknologi serta Keterampilan Diri.
KSSR menggunakan Elemen Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) secara eksplisit dengan memfokuskan kepada 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul).
KBSR adalah reka bentuk kurikulum berasaskan tiga bidang iaitu Komunikasi; Manusia dan Alam Kelilingnya dan Perkembangan Diri Individu. Kaedah ini menggunakan Elemen Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif dengan fokus kepada 3M (Membaca, Menulis dan Mengira)
Adakah terdapat perubahan mata pelajaran dalam KSSR Tahap Satu?
Dalam KSSR Tahap Satu, ada beberapa mata pelajaran baru di samping penggabungan semua disiplin ilmu dalam Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif bagi pengurusan kurikulum lebih berkesan.
Mengapa Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas?
Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas kerana Modul Teras Asas memberi fokus kepada literasi dan numerasi, kesejahteraan diri dan pembangunan rohani. Manakala Sains pula diperkenalkan dalam Modul Teras Tema bagi memberi pengetahuan asas disiplin ilmu Sains.
Adakah murid akan bosan di dalam kelas dengan penambahan waktu Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bahasa Inggeris?
Tidak. Kaedah dan teknik yang pelbagai diperkenalkan oleh guru untuk menarik minat murid. Modul Language Arts yang menekankan pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. P&P bahasa yang menarik dan efektif dijalankan melalui aktiviti menyanyi, jazz chants, choral speaking, drama, muzik dan bahan bantu mengajar lain yang sesuai.
Apakah usaha dilakukan bagi menyediakan guru bagi pelaksanaan KSSR?
KPM menjalankan kursus penyebaran KSSR kepada semua guru terbabit dalam pelaksanaan KSSR. Guru juga dibekalkan bahan sokongan dan boleh mengakses maklumat daripada laman web di KPM seperti berikut: http://www.moe.gov.my atau menghubungi Bilik Gerakan KSSR di nombor telefon 03-88842283.
S: Adakah KSSR mampu mendorong kreativiti guru dan murid dalam P&P?
J: KSSR mampu mendorong meningkatkan kreativiti guru dan murid melalui pendekatan P&P seperti didik hibur dan elemen nilai tambah merentas kurikulum. Guru dibekalkan dengan buku panduan kreativiti untuk membantu pelaksanaan P&P.
S: Dalam tahap 1, setakat manakah pendidikan seks diajarkan?
J: Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) tidak diajar sebagai satu mata pelajaran tetapi sebagai komponen yang besar (75%) dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan.
Sukacita dimaklumkan bahawa permohonan kemasukan ke Asrama 1Malaysia (A1M) telah dibuka kepada semua murid Tingkatan 1 bagi sesi persekolahan tahun 2014. Syarat-syarat permohonan kemasukan ke A1M boleh dirujuk di dalam Borang Permohonan Ke Tingkatan Satu Asrama 1Malaysia. Borang permohonan yang lengkap hendaklah dihantar oleh pihak sekolah terus ke Bahagian Pengurusan Sekolah Harian selewat-lewatnya pada 30 Januari.
PENILAIAN 10% MARKAH KOKURIKULUM SEBAGAI SYARAT KEMASUKAN KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM SESI 2014/2015
PENILAIAN 10% MARKAH KOKURIKULUM SEBAGAI SYARAT KEMASUKAN KE INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI AWAM SESI 2014/2015
BAGI CALON SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM). SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA (STPM) DAN SIJIL TINGGI AGAMA MALAYSIA (STAM), TAHUN 2013
Malaysia sedang menuju ke arah satu sistem pendidikan yang mampu memenuhi keperluan generasi mudanya
PARIS: Malaysia sedang menuju ke arah satu sistem pendidikan yang mampu memenuhi keperluan generasi mudanya sebagai persiapan untuk mereka dalam menghadapi permintaan global pada abad ke-21, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata matlamat dan aspirasi Malaysia berhubung sistem pendidikan dapat dilihat melalui penggubalan rangka tindakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, yang dilancarkan September lepas.
Ketika membentangkan Kenyataan Nasional pada sidang ke-37 Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco)di ibu pejabatnya di sini, beliau berkata rangka tindakan itu memberi fokus terhadap lima tonggak utama iaitu capaian, kualiti, kesaksamaan, perpaduan dan kecekapan.
“Bagaimanapun, kualiti merupakan prinsip paling utama yang merentasi semua dimensi dalam mewujudkan satu sistem yang mampu menyesuaikan diri secara dinamik dengan landskap pembangunan yang sentiasa berubah di peringkat tempatan dan global.
“Sebagai pemboleh bagi mobiliti sosial yang lebih meluas, pertumbuhan yang berdaya saing dan penciptaan kekayaan, Malaysia percaya pendidikan berkualiti akan menjana pulangan terbaik bagi pelaburan dari segi standard modal insannya,” kata beliau.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata Malaysia komited untuk menyediakan pendidikan yang mudah dicapai dan secara saksama kepada seluruh rakyatnya untuk mencapai Pendidikan Untuk Semua (EFA).
“Sebagai contoh, kami telah berusaha untuk menyediakan akses kepada pendidikan untuk pelajar yang sedang menjalani rawatan melalui program ‘Sekolah di Hospital’ yang diwujudkan pada 2011.
“Sebanyak lapan ‘Sekolah di Hospital’ sudah beroperasi untuk menyediakan peluang kepada pelajar mendapatkan pendidikan seperti yang dinikmati rakan sebaya mereka dari sekolah arus perdana.
“Di samping itu, kumpulan yang terpinggir di kawasan terpencil pula dibantu melalui sekolah model komprehensif untuk memenuhi keperluan pendidikan kanak-kanak daripada masyarakat pribumi,” katanya.
Muhyiddin berkata Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) merupakan antara keutamaan terpenting negara dan beliau berharap melalui Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi Antarabangsa (ISTIC), kerjasama untuk memupuk Kerjasama Selatan-Selatan dan menyokong program sains Unesco akan dapat terus dipertingkatkan.
Menurut beliau kewujudan ISTIC memudahkan usaha mengintegrasikan pendekatan pembangunan dalam dasar STI negara, yang memberi fokus terhadap pembinan keupayaan, penyediaan platform bagi mendapatkan nasihat berkaitan dasar serta perkongsian pengalaman dan amalan terbaik.
“Sehingga kini, seramai 1,585 petugas dari 82 negara membangun mendapat manfaat secara langsung daripada 33 program pembinaan keupayaan yang dikendalikan ISTIC sejak lima tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata komitmen Malaysia terhadap Unesco dan keazamanya untuk memberi sokongan kepada negara membangun ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) menjelang 2015, dapat dilihat melalui pemeteraian Program Kerjasama Malaysia Unesco (MUCP) pada 2011, diikuti penubuhan Dana Amanah Malaysia (Malaysian Funds-in-Trust) pada April 2013.
Melalui kerjasama ini, kata beliau, Malaysia dapat memberi sumbangan untuk manfaat Negara Paling Kurang Membangun (LDC), Negara Kepulauan Kecil Sedang Membangun (SIDS) dan Afrika serta negara lain.
Muhyiddin juga memuji negara anggota lain kerana memberi sokongan tidak berbelah bagi untuk menjayakan program berkenaan, termasuk ketika dilanda kesulitan fiskal.
“Dengan ini, saya ingin menyatakan keyakinan Malaysia bahawa kita akan dapat mengatasi halangan yang ada dalam melaksanakan program utama kita yang meliputi sektor keutamaan Unesco. Melalui kebijaksanaan bersama ini, Insya-Allah kita akan dapat mencapai matlamat yang disasarkan,” katanya. – BERNAMA
BULAN BAHASA KEBANGSAAN
BULAN BAHASA KEBANGSAAN PERINGKAT SEKTOR PENDIDIKAN
Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas.
2. Seperti mana yang YBhg. Tan Sri/ Dato’ Seri/ Datuk/ Dato’/ Datin/ Prof./ Dr./ Tuan/ Puan sedia maklum, Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) merupakan satu gerakan besar-besaran di seluruh negara yang melibatkan semua lapisan masyarakat. Program ini bermula dari bulan Oktober hingga Disember.
3. Pada tahun ini, Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan telah diadakan pada 8 Oktober 2013 di Dewan Wawasan 2020, Kangar Perlis yang dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri. Tema bagi sambutan pada tahun ini ialah 1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara.
4. Di samping itu, Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Sektor Pendidikan akan diadakan pada 26 Oktober 2013 yang akan disempurnakan oleh YB Menteri Pendidikan ll bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Bagi menyemarakkan lagi sambutan BBK peringkat sektor pendidikan, sembilan (9) program telah/akan dilaksanakan seperti berikut :
Syarahan Pena Bayu oleh Sasterawan Negara
Wacana Bahasa Kebangsaan;
Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu Kedua;
Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu;
Persembahan Puisi
Perkampungan Bahasa Dan Sastera Melayu Peringkat Sekolah Rendah;
Pertandingan Sahibba / Deklamasi Sajak;
Perkampungan Penulis Muda Bersama Sasterawan Peringkat Sekolah Menengah; dan
Persidangan Memartabatkan Bahasa Melayu Dalam Sektor Pendidikan & Latihan Teknik Dan Vokasional (TVET).
5. Sehubungan itu, warga kementerian adalah dipohon untuk merancang dan mengadakan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan untuk memastikan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Sektor Pendidikan bagi Tahun 2013 dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Kejohanan Piala Menteri Pendidikan 1Murid 1Sukan Peringkat Kebangsaan
Kejohanan ini adalah anjuran Bahagian Sukan, KPM yang dikelolakan oleh Unit Sukan, Jabatan Pendidikan Pulau Pinang. Kejohanan ini akan diadakan.
Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal ASFF & Mesyuarat Agong ASFF
Sempena Kejohanan Bola Sepak Sekolah Asia (B 18 ) Kali Ke-41 yang dilangsungkan di Chiangrai, Thailand dari 6-16 Novemver 2013, Asian School Football Federation (ASFF) telah mengadakan dua mesyuarat. iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal ASFF yang dipengerusikan oleh Malaysia dan Mesyuarat Agung (General Assembly) Asian School Football Federation(ASFF). Terima kasih kepada semua Ahli Mesyuarat yang hadir.
Ahli mesyuarat utama:
EN. NIWAT LIMSUKNIRUN (Setiausaha ASFF – Thailand), PN. SAENGCHAN VARASUMANTA (Ketua Pengarah Department of Physical Education-Thailand), DR. SUWAT SIDTHILAW (Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand merangkap Presiden ASFF), EN. ABD HALIM ISMAIL (Timbalan Pengarah Bahagian Sukan merangkap Pengerusi JK Teknikal ASFF) dan PN. DORIS HO (Bendahari Majlis Sukan Sekolah Singapura merangkap Bendahari ASFF).
UPSR – Pengumuman Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diumumkan pada 14 November ini, menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan.
Kenyataan itu menyebut calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing selepas pukul 10 pagi, pada hari berkenaan.
Calon juga boleh menggunakan perkhidmatan semakan UPSR 2013 melalui khidmat pesanan ringkas mySMS ke 15888.
“Perkhidmatan ini akan diaktifkan bermula 10 pagi, 14 Nov dan akan ditamatkan pada 11.59 malam, 20 Nov ini,” menurut kenyataan itu.
Rasional rekabentuk logo baharu KPM ini
Logo ini direka mengunakan huruf ‘Alif’ sebagai konsep teras. Pendekatan mengunakan huruf atau typography adalah berdasarkan pengertian bahawa manusia yang pada masa hidupnya, berada pada jalan yang lurus sebagaimana huruf ‘Alif’ itu. Alif juga membawa pengertian ILMU kerana Allah mengangkat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu dengan beberapa darjat.
Ilmu juga diklasifikasikan sebagai pengetahuan atau kepandaian yang merangkumi semua bidang yakni duniawi mahupun ukhrawi. Ilmu juga di takrifkan sebagai pemindahan roh atau jiwa daripada kegelapan kepada kecerahan dan sebagai suatu kebenaran dan keyakinan. Logo ini menggunakan dua ‘P’ dan dua ‘Alif’ melambangkan dua peringkat pendidikan iaitu Sistem Sekolah dan Sistem Pengajian Tinggi.
Hurup ‘P’ yang bertingkat ke arah Alif melambangkan tahap-tahap kecemerlangan pendidikan Malaysia. Bentuk Bulat melambangkan Malaysia sebagai pusat pendidikan yang bersifat global. Dari segi warna, biru bermaksud profesionalisma dalam sistem pendidikan negara. Kuning keemasan melambangkan kecemerlangan. Putih melambangkan sistem pendidikan yang bermutu tinggi dan membentuk insan yang berkualiti dan berilmu mulia.