Saji Online Recipes

Menghilangkan bintik hitam

BAHAN-BAHAN:

1 biji telur (ambil putihnya)

1 sudu teh perahan limau nipis

Kapas muka

CARA-CARA:

1. Campurkan air perahan limau nipis ke dalam putih telur.

2. Kemudian, ambil beberapa helai kapas muka, dan rendamkan di dalam bancuhan tadi.

3. Setelah itu, lekatkan kapas tersebut pada dahi, hidung, pipi dan dagu.

4. Biarkan sehingga kapas kering.

5. Setelah kering, tarik kapas secara perlahan-lahan dan lihat hasilnya.

Atasi kesan parut di badan

BAHAN-BAHAN:

2 biji limau purut

CARA-CARA:

1. Mula-mula, perah limau purut di dalam mangkuk.

2. Sapukan jus tersebut, pada parut.

3. Amalkan petua ini setiap hari. Anda dapat lihat, kesan parut akan pudar dan hilang.

Melebatkan rambut

BAHAN-BAHAN:

3 sudu minyak sapi

Tuala

CARA-CARA:

1. Mula-mula, lumurkan minyak sapi ke seluruh kulit kepala

2. Kemudian, bungkus kepala dengan menggunakan tuala yang kering

3. Biarkan ia semalaman

4. Keesokannya, bilas rambut anda sehingga bersih

5. Untuk hasilnya, amalkan petua ini 2 minggu sekali

Menyembuhkan luka selepas bersalin

BAHAN-BAHAN:

Asam keping

Buah manjakani

CARA-CARA:

1.  Rebus asam keping bersama buah manjakani.

2. Gunakan air rebusan ini untuk membasuh alat sulit semasa di dalam pantang.

3. Anda dapat lihat hasilnya, luka peranakan akan cepat sembuh.

Menyegarkan kulit wajah

BAHAN-BAHAN:

Epal hijau

Air batu

CARA-CARA:

1. Cuci dan potong nipis epal hijau.

2. Kemudian, rendamkan epal tadi di dalam air batu selama 5 minit.

3. Setelah itu, letakkan di muka dan biarkan selama 15 minit.

4. Anda akan dapat rasakan kesegarannya. Jika diamalkan selalu ia juga boleh melicinkan kulit.

Membentuk Tabiat Makan

Kebanyakan anak yang sedang membesar memang berselera makan….

Ini mungkin menggembirakan hati ibubapa. Sungguhpun begitu, beberapa perkara mengenai tabiat makan perlu diberi perhatian; bukan sahaja untuk menjaga adab tetapi juga kesihatan mereka.

Anda tentu tidak mahu anak-anak mengalami masalah obesiti dan kesihatan lain yang mempunyai kaitan dengan makanan akibat tabiat makan mereka tidak dikawal. Antara yang anda boleh lakukan:

1. Melatih anak untuk makan perlahan-lahan, tidak gelojoh dan bersopan di meja makan.

2. Membiasakan anak dengan waktu makan yang betul, dan tidak makan pada waktu yang tidak sepatutnya. Contohnya pada tengah malam.

3.    Ingatkan anak-anak agar jangan makan terlalu banyak kerana jika terlalu kenyang, mereka mungkin akan memuntahkan kembali apa yang dimakan.

4. Perkenalkan anak kepada makanan yang berzat dan sihat. Terangkan  mengapa mereka perlu mengambil sesetengah makanan lebih berbanding yang lain. Anak-anak juga perlu tahu mengapa mereka perlu mengelak sesetengah makanan dan minuman.

Lemak dan manis; memang digemari ramai, tetapi jika diambil berlebihan adakah makanan ini sihat?

Dalam penyediaan makanan anak pula, ibu bapa perlu memerhatikan beberapa perkara:

 Makanan berlemak

Pengambilan lemak dalam kuantiti yang tidak dikawal bukan hanya boleh menyebabkan si kecil mengalami sakit perut, cirit-birit dan sembelit, tetapi juga masalah obesiti.  Contohnya makanan berkeju, mentega, susu penuh krim yang digemari kanak-kanak. Selain itu daging merah dan makanan bersantan juga perlu dikawal pengambilannya kerana mengandungi lemak.

  1. Makanan manis dan masin

 Kanak-kanak memang suka makanan dan minuman yang manis, tetapi jika terlalu banyak  boleh menjejaskan kesihatan gigi dan lebih menakutkan diabetes.

Bentuk tabiat pengambilan gula yang sihat sejak anak masih kecil, dengan melatih mereka mengambil makanan dan minuman yang kurang manis. Begitu juga dengan makanan yang mengandungi garam, pengambilan bahan perasa ini juga perlu dikawal.

Bagaimana Buka Selera Anak?

Adakalanya memang sukar menyuruh anak makan, tapi ada cara menarik perhatian mereka…. Pemakanan anak-anak, terutama yang sedang membesar, amat perlu dititikberatkan. Ini kerana daripada makananlah mereka mendapat tenaga, serta membantu pertumbuhan fizikal dan mental yang sihat.

Jika anak-anak kurang selera makan, dan sering menolak makanan berkhasiat yang disediakan, mereka akan berdepan masalah kurang nutrisi dan berkemungkinan menghadapi masalah kesihatan lain pula.

Maka para ibu bapa perlu bijak menarik perhatian anak-anak untuk menjamah makanan. Antara caranya:

1. Menyediakan dan menghiasi makanan dengan lebih warna-warni.

2. Bentukkan makanan dengan lebih menarik, contohnya watak-watak kartun yang mereka minati. Anda juga boleh gunakan coklat cair, kicap atau sos untuk melukis di makanan.

3. Sediakan makanan pada suhu yang sesuai, tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk.

4. Guna pelbagai kaedah memasak yang boleh membangkitkan rasa, bau dan rupa hidangan.

5. Gunakan sos untuk menyembunyikan rasa yang mungkin tidak digemari anak anda.

6. Cuba makanan yang disediakan di hadapan anak dan berikan ekspresi bahawa ia benar-benar sedap!

7. Ajak mereka sama-sama menyediakan makanan, dan jadikan aktiviti itu sesuatu yang menyeronokkan.

8. Potong makanan kecil-kecil untuk memudahkan anak anda mengunyahnya.

9. Bagi kanak-kanak tidak sukakan sayur, sediakan hidangan yang anda boleh sembunyikan sayuran; contohnya bergedel dan sos spageti yang mengandungi sayur yang dicincang halus.

10. Gunakan pinggan mangkuk yang menarik perhatian kanak-kanak seperti yang bergambar atau berbentuk watak kartun.

Makanan Berkhasiat Kegemaran Anak

Burger, kentang goreng, gula-gula, minuman berkarbonat dan pelbagai makanan ringan lain memang digemari kanak-kanak.

Tidak semua yang digemari anak anda, baik untuk mereka. Kanak-kanak perlu dididik untuk mengelak makanan yang tinggi kalori, mempunyai kandungan lemak berlebihan serta mengandungi bahan pengawet. Sebagai ibu bapa, didiklah mereka agar memilih makanan yang tinggi fiber, rendah lemah atau makanan yang lebih sihat seperti yang mengandungi kalsium, zat besi serta bervitamin dan mineral.

Sebenarnya, ada banyak makanan berkhasiat yang digemari oleh kanak-kanak, cuma ramai ibu bapa tidak mengambil berat untuk menerangkan kepada anak-anak mereka bahawa makanan tersebut perlu lebih diutamakan.

Contohnya, susu yang merupakan sumber kalsium, vitamin D dan protein yang baik untuk kanak-kanak. Sejak masih bayi, anak anda minum susu, tetapi apabila besar sedikit, ramai yang terus berhenti minum susu. Antara sebabnya ialah terdapat banyak minuman lain disediakan di rumah. Jika pun begitu, cuba didik anak anda untuk terus minum susu dua hingga empat gelas sehari, tambahan kini susu boleh didapati dalam pelbagai perisa.

Selain susu, kanak-kanak juga sukakan yogurt yang kaya dengan kalsium. Sebaiknya, pilih yogurt yang kurang kandungan gula, rendah lemak dan berkultur untuk anak anda.

Buah-buahan yang mengandungi vitamin, fiber dan rendah kalori juga sebenarnya digemari kanak-kanak. Sungguhpun begitu ramai ibu bapa tidak menyediakannya di rumah sebagai makanan ringan yang berkhasiat untuk anak-anak. Sebaliknya ramai lebih gemar menyimpan kerepek, keropok, biskut lemak dan pelbagai makanan ringan lain yang tidak berkhasiat untuk anak-anak.

Kebanyakan kanak-kanak juga gemar makan roti. Ibu bapa pula perlu memastikan mereka menikmatinya dengan sesuatu yang enak dan berkhasiat. Contohnya, mentega kacang, berbanding mentega, krim, keju atau lain-lain makanan yang kaya dengan lemak. Mentega kacang juga tinggi kandungan lemaknya, tetapi kebanyakan lemak tersebut adalah lemak mono dan poli tak tepu, yang lebih sihat berbanding lemak tepu.

Selain menikmati roti dengan mentega kacang, kanak-kanak juga sukakan sanwic. Sediakan sandwic tuna berserta salad dan tomato segar. Tuna kaya dengan protein, omega-3 serta vitamin dan mineral. Jika menggunakan mayonis dalam sandwic, pilihlah yang rendah lemak, manakala roti pula yang berbijirin.

Untuk sarapan pagi, bijirin yang pelbagai perisa seperti coklat, madu jarang ditolak kanak-kanak. Ibu bapa hanya perlu menyediakan bijirin yang kurang manis, diperkuat dengan kalsium dan berfiber. Bijirin boleh disajikan dengan buah-buahan agar kelihatan lebih menarik dan sihat untuk anak anda.

Ramai kanak-kanak tidak suka makan sayur, tetapi ada sayur-sayuran yang lebih digemari mereka. Contohnya, jagung, karot dan kekacang. Karot contohnya, tinggi kandungan fiber, vitamin A, vitamin C dan potasium.

Kanak-kanak juga sukakan biskut. Peranan ibu bapa dalam memastikan mereka makan makanan yang lebih sihat ialah menyediakan biskut yang kurang manis dan lemak. Sebaiknya pilih yang berbijirin seperti biskut oat, biji bunga matahari yang kaya dengan fiber dan zat-sat lain.

Diet Semasa Anak Demam

Apabila demam, kanak-kanak akan hilang selera makan…

Mereka juga berada dalam keadaan lemah. Maka adalah penting anda memastikan anak-anak yang kurang sihat itu mendapat nutrisi yang baik untuk melegakan simptom-simptom demam, dan membuat mereka lebih selesa.

1. Diet yang sesuai untuk kanak-kanak yang mengalami demam adalah yang tinggi kalori serta protein, tetapi kurang lemak. Makanan yang disediakan juga perlu mengandungi lebih cecair.

2. Dua tiga hari pertama anak anda demam, sediakan diet yang banyak cecair seperti sup, air glukos dan jus. Jika anak anda tidak mengalami cirit-birit, anda juga boleh memberi mereka susu. Berikan mereka makan dalam kuantiti sedikit setiap dua jam, kemudian tambah kuantitinya setiap empat jam.

3. Makanan yang disediakan perlu lembut, mudah dihadam dan diserap seperti bubur, bijiran dan susu, buah-buahah lembut seperti pisang, betik, oren dan sayur-sayuran yang direbus.

4. Pengambilan protein perlu ditingkatkan. Anda boleh memberi anak anda susu, telur dan dal yang mengandungi nilai nutrisi protein yang tinggi.

5. Bagaimanapun, anda perlu mengelak memberi anak-anak yang demam makanan berlemak, pedas dan berfiber tinggi yang sukar dihadam.

6. Penting juga diingatkan, apabila seseorang demam nutrien seperti Vitamin A, C, B, Kalsium, zat besi dan sodium perlu ditingkatkan.

Bubur baik untuk anak-anak yang sedang demam, tetapi elakkan makanan berminyak, pedas dan berempah.

Secara ringkas, antara makanan yang perlu diberikan adalah:

* Jus buah-buahan, air glukos, susu, air barli, telur, sup, bijirin, daging yang lembut, ikan bakar, sayur-sayuran berdaun yang direbus, buah-buahan kering yang dikisar bersama susu.

Antara makanan yang perlu dielak pula ialah:

* Mentega, minyak sapi, makanan bergoreng, pastri yang berlemak, puding yang berkrim, makanan yang terlalu pedas atau berempah, sup berkrim dan minuman yang terlalu berperisa.

Bekalkan Makanan Sihat

Adakah makanan di rumah yang dibekalkan kepada anak-anak, sihat untuk mereka?

Anak-anak yang masih kecil lazimnya makan di rumah. Mereka tidak pandai lagi mendapatkan makanan di luar seperti membeli di kedai atau ke restoran.

Sebab itu, adalah penting anda mempunyai bekalan makanan di rumah. Sungguhpun begitu, adalah lebih penting anda memastikan makanan yang terdapat di rumah untuk anak-anak adalah baik dan sihat untuk mereka nikmati; sama ada untuk sarapan, makan tengahari, minum petang, makan malam mahupun sebagai snek.

Berikut adalah beberapa garis panduan yang boleh diikuti apabila menyimpan bekalan makanan di rumah untuk anak-anak anda:

1. Pastikan di rumah sentiasa ada buah-buahan dan sayur-sayuran untuk dimakan anak-anak, sekurang-kurang lima hidangan.

2. Gula-gula, coklat dan snek-snek lain memang digemari kanak-kanak. Tetapi adakah ia baik untuk kesihatan mereka? Bekalkan anak-anak dengan snek yang lebih baik, contohnya, yogurt rendah lemak, biskut bijirin penuh, keju atau kekacang yang mengandungi banyak protein.

3. Jika menyediakan makanan berdaging, pastikan daging yang digunakan tidak banyak lemak. Anda juga boleh membekalkan sumber-sumber protein lain, selain daging seperti ikan, telur dan kekacang.

4. Sekiranya anda menyimpan roti di rumah untuk anak-anak makan, belilah roti atau ban yang diperbuat daripada bijirin penuh atau bijirin-bijirin lain. Ini untuk memastikan anak-anak mendapat bekalan fiber yang baik.

5. Apabila menyediakan bekalan makanan untuk anak, janganlah ambil mudah. Anda juga perlu ingat bahawa teknik memasak juga mempunyai kaitan dalam menentukan tahap kesihatan anak-anak nanti. Jika mereka sering makan makanan bergoreng dan berlemak, besar kemungkinan tahap kolesterol mereka meningkat. Jadi gunakan kaedah memasak yang lebih sihat seperti merebus, memanggang, membakar atau mengukus. Bahan-bahan yang digunakan juga perlulah rendah lemak.

6. Kanak-kanak memang gemar makanan segera dan snek yang kurang nutrien. Memang sukar bagi ibu bapa menghalang keinginan mereka, tetapi anda boleh mengawal keinginan itu. Anda boleh bekalkan mereka dengan makanan tersebut sekali-sekala. Dengan cara itu, anak-anak tidaklah berasa begitu ‘terseksa.’

7. Sekiranya di dalam peti sejuk sentiasa ada soda, minuman berkarbonat atau minuman berperisa buah-buahan, tentulah itu yang akan diteguk anak-anak. Tetapi adakah ia baik untuk mereka? Minuman seumpama itu lazimnya mempunyai kandungan gula yang tinggi. Jadi, adalah lebih baik anda bekalkan mereka dengan air yang lebih sihat seperti jus segar dan susu rendah lemak.

Serat Dalam Diet Anak Anda

Ramai kanak-kanak mengalami sembelit dan pergerakan usus yang kurang sempurna. Mengapa?

Fikirkan diet mereka, adakah anak-anak anda mengambil makanan yang mengandungi serat atau fiber yang mencukupi.

Bagaimana cara menambah serat di dalam diet anak-anak yang sedang membesar?

1. Perkenalkan diet campuran, contohnya sup sayur atau sayur masak lemak yang sangat digemari kebanyakan kanak-kanak. Hidangkan juga buah-buahan segar dan libatkan juga mereka dalam penyediaan hidangan.

2. Sediakan biskut atau kuih-muih yang diubahsuai resipinya dengan mengurangkan lemak dan gula, serta menambah tepung penuh bijirin. Jangan lupa libatkan anak-anak dalam membuatnya. Dengan cara itu anda dapat melatih mereka dalam penyediaan makanan sihat dan mereka juga akan teruja menikmatinya.

3. Jika ingin bekalkan makanan ringan atau sampingan, sediakan yang berkhasiat dan merupakan tambahan untuk memenuhi keperluan zat harian mereka. Contohnya, potongan buah-buahan seperti betik, tembikai, jampul, epal, oren dan sebagainya. Anda juga boleh menyediakan salad menggunakan dadih rendah lemak berbanding mayonis; cucur, jemput-jemput, roti atau biskut yang dibuat dengan tepung penuh bijirin.

Roti serat dengan sayur dan jus buah-buahan baik untuk diet sihat.

4. Pastikan buah-buahan yang dibekalkan adalah daripada jenis yang tidak mudah masam atau busuk seperti pisang. Anda juga boleh beri mereka buah-buahan kering yang dicampur dengan kerepek pisang yang tidak manis, ubi atau kekacang.

5. Apabila makan diluar, seperti  ke restoran makanan segera, jangan hanya memesan makanan bergoreng saja, pilih juga makanan tinggi kandungan serat seperti yang mengandungi sayur-sayuran, buah-buahan atau bijirin penuh mil. Makanan Cina, India dan Barat menawarkan hidangan yang tinggi serat, contohnya, capati dan dal, mi sup atau spageti yang diperbuat daripada gandum.

Jika anak anda mengalami masalah berat badan berlebihan, pertingkatkan kandungan serat dalam diet mereka. Ini kerana serat akan menyebabkan kita berasa kenyang. Makanan tinggi serat juga akan berada lebih lama di dalam usus dan menyerap air serta mengelakkan daripada sembelit.

Apapun anda juga perlu tahu, makanan yang tinggi kandungan seratnya sering kali mengandungi kalori yang rendah serta menyebabkan rasa kenyang yang lama. Sedangkan kanak-kanak memerlukan banyak tenaga yang dibekal daripada makanan yang mereka ambil. Jadi pengambilan kalori perlu diseimbangkan dengan makanan berserat tinggi.

Sarapan berserat tinggi untuk anak anda:

1. Capati dengan dalca berbanding roti canai.

2. Bijirin dengan susu skim

3. Mee rebus dengan sayuran

4. Bubur lambuk dengan sayuran atau ikan bilis tanpa dibuang tulang.

5. Roti penuh bijirin; disediakan sandwic dengan sayuran atau dibakar serta dihidangkan

bersama jus buah-buahan segar tanpa gula.

5 Langkah Bentuk Tabiat Makan Anak

Kanak-kanak amat cenderung meniru perbuatan orang dewasa.

Kecenderungan ini adalah satu peluang baik bagi ibu bapa membentuk tabiat makan yang sihat di kalangan anak-anak.

Sebab itu, adalah penting ibu bapa juga memberi contoh yang baik kepada anak, bukan sahaja daripada segi kata-kata dan berbuatan, tetapi juga amalan dan tabiat makan.

Jika mahu anak-anak dibentuk dengan tabiat makan yang sihat, maka anda perlu menjadi role model. Jangan pula menyuruh anak makan sayur-sayuran dan ikan, tetapi anda mengunyah kentang goreng serta menyedut minuman berkarbonat yang bergula. Perbuatan sebegitu tidak akan berjaya membentuk tabiat anak-anak.

Ada beberapa langkah yang boleh diikuti untuk membentuk tabiat makan yang sihat di kalangan ahli keluarga yang masih kecil. Antaranya:

1. Makan bersama. Waktu sarapan pagi dan makan malam adalah peluang yang baik. Tempoh singkat ini boleh mengeratkan hubungan keluarga di samping menikmati makanan enak dan sihat. Cuma pastikan makanan yang disediakan adalah yang sihat.

2. Lebih kerap masak sendiri di rumah. Makanan yang disediakan sendiri lebih bersih dan sihat untuk seluruh ahli keluarga. Amalan ini juga adalah satu contoh yang baik untuk anak-anak. Makanan yang disediakan di restoran lazimnya mengandungi lebih banyak lemak, gula dan garam. Sungguhpun begitu, tidak salah sekali-sekala makan di luar, terutama jika meraikan hari-hari istimewa.

3. Libat anak-anak semasa membeli-belah dan penyediaan makanan. Dengan cara itu, anda boleh mendidik mereka mengenai nilai nutrisi dan bagaimana membaca label di bungkusan makanan.

4. Sediakan pelbagai makanan berkhasiat. Sama ada di dalam peti sejuk atau di dapur, simpan buah-buahan, sayur-sayuran, snek-snek yang baik untuk kesihatan, minuman sihat (air mineral, susu, teh herba, jus buah-buahan dan lain-lain), atau makanan-makanan lain yang sihat untuk anak-anak. Ini untuk memudahkan mereka mencapai makanan yang baik apabila terasa lapar.

5. Beri kebebasan kepada anak-anak untuk memilih. Jika anak-anak tidak dapat menghabiskan makanan mereka, janganlah dipaksa. Lebih buruk jika anda gunakan makanan sebagai ganjaran atau ‘rasuah’. Jika mereka tidak gemar makan yang sihat, anda perlu lebih kreatif dalam menyediakannya agar anak-anak tertarik mencubanya.

Makanan Selamat untuk Kanak-kanak Bertatih

Bolehkah kanak-kanak yang sedang bertatih makan makanan yang sama seperti orang dewasa?

Sebelum usia mereka mencecah dua tahun, kebanyakan kanak-kanak yang tidak mempunyai masalah alergi atau masalah kesihatan khusus, boleh makan daging, buah-buahan, sayur, dan sebagainya.

Cuma, jumlah yang diambil tidaklah sebanyak orang dewasa, dan makan tersebut juga perlu dipotong kecil agar selamat untuk mereka makan.

Sungguhpun begitu, beberapa perkara perlu anda ketahui dalam penyediaan makanan anak-anak yang masih kecil:

1. Jika anda sering makan berfiber tinggi seperti bijirin penuh atau beras perang, ia tidak begitu sesuai untuk sikecil. Fiber yang telalu banyak boleh merendahkan tahap mineral seperti kalsium dan zat besi, yang boleh diserap oleh perut kanak-kanak.

2. Pastikan juga makanan kanak-kanak berusia sehingga lima tahun tidak mengandungi terlalu banyak lemak terlarut yang boleh didapati daripada mentega, keju, daging berlemak, produk daging, biskut, pastri dan kek.

3. Elak memberi anak-anak anda telur mentah atau telur setengah masak kerana risiko dicemari salmonella yang boleh mengakibatkan keracunan makanan. Jika mahu beri anak anda makan telur, pastikan bahagian merah dan putih masak sepenuhnya.

4. Potong kecil, parut atau kisar kekacang atau buah-buahan jika ingin memberi mereka kekacang atau buah-buahan.

5. Sesetengah ikan mengandungi tahap raksa yang tinggi, dan ini boleh memberi kesan kepada perkembangan sistem tunjang mereka. Jadi cuba elakkannya.

6. Elakkan memberi minuman bergula atau mengandungi madu kepada kanak-kanak kerana ia boleh merosakkan gigi. Adalah lebih baik anda memberi air kosong atau susu saja.

Menu harian anak anda

Apa yang penting dalam menyediakan menu harian anak anda?

1. Makanan yang berkhasiat

* Masak sendiri makanan si manja anda.
* Pastikan ianya berkhasiat, bersih dan sihat.
* Elakkan daripada memberi si manja anda makanan ringan atau makanan segera yang kebanyakannya tidak berkhasiat.

2. Variasikan makanan

* Pelbagaikan menu si manja anda.
* Aturkan menu yang menarik untuknya.

3. Nutrien yang cukup

* Pastikan kandungan nutrien yang cukup untuk keperluan si manja anda.
* Jadikan piramid makanan sebagai panduan dalam menyediakan menu.

4. Hidangan yang menarik

* Gunakan sayuran atau buah-buahan yang berwarna-warni.
* Hiaskan makanan dengan cara yang kreatif untuk menarik perhatian si manja.

Sejuk Beku – Apa Anda Perlu Tahu

Apa yang boleh disejuk beku?

Hampir semua makanan boleh disejuk beku. Beberapa pengecualian ialah makanan dalam tin atau butir telur. Untuk makanan dalam tin, anda boleh menyimpannya di bahagian sejuk beku setelah mengeluarkannya.

Sesetengah makanan tidak sesuai disejuk beku kerana kualitinya terjejas apabila dinyah beku, contohnya mayonis atau sos krim. Daging dan ayam mentah pula masih boleh dikekalkan kualitinya jika disejuk beku berbanding yang telah dimasak. Ini kerana daging dan ayam hilang kelembapannya semasa proses memasak.

Adakah makanan yang disejuk beku selamat?

Makanan yang disimpan pada suhu 0 darjah Farenheit adalah selamat, bagaimanapun kualitinya terjejas apabila terlalu lama disimpan. Apabila makanan disejuk beku gerakan molekul diperlahankan, menyebabkan mikrob-mikrob menjadi dorman atau terpendam. Makanan yang disimpan di bahagian sejuk beku kekal lebih lama kerana pembiakan mikroorganisme yang menyebabkan kerosakan dan penyakit terhalang.

Bolehkah sejuk beku memusnahkan bakteria dan parasit?

Mikrob seperti bakteria, yis dan kulat dalam makanan tidak aktif semasa disejuk beku, tetapi setelah dikeluarkan dari peti sejuk dan berada dalam keadaan yang sesuai, mikrob-mikrob ini boleh aktif semula malah membiak pada tahap yang membahayakan kesihatan. Makanan yang dinyah beku perlu dikendalikan dengan baik kerana dalam mikroorganisme yang terdapat di dalam makanan itu membiak pada kadar biasa.

Sesetengah parasit seperti Trichina boleh mati pada suhu bawah kosong, tetapi peti sejuk biasa di rumah mungkin tidak mencapai tahap itu. Sebab itu, apabila memasak, pastikan makanan masak sepenuhnya sehingga semua parasit musnah.

Masihkah berzat dan berkualiti?

Proses sejuk beku sahaja tidak memusnahkan nutrien yang terdapat dalam makanan. Bagi daging dan produk-produk ayam itik contohnya, perubahan dalam nilai nutrien sangat sedikit.

Tetapi makanan boleh berubah warna dan menjejaskan kualitinya. Contohnya warna daging berubah coklat kerana kurang oxygen, manakala tulang dan daging ayam menjadi lebih gelap kerana pigment daripada tulang menyerap ke tisu-tisu sekitarnya.

Sebab itu, adalah lebih baik makanan disejuk beku dengan cepat. Jika disejuk beku dengan perlahan, kristal ais yang besar akan terbentuk, dan apabila anda menyahbekukan makanan, ia akan merosakkan sel-sel dan melarutkan emulsi. Daging contohnya, akan mengeluarkan banyak air dan hilang jusnya. Emulsi seperti mayonis atau krim akan kelihatan seperti pecah minyak dan kelihatan bergentel.

Semasa menyimpan makanan dalam ruang sejuk beku, elak meletakkannya di atas satu sama lain, sebaliknya biarkan selapis atas rak-rak berbeza. Setelah makanan sudah membeku, barulah disusun berlapis.

Peraturan Di Dapur

Banyak kemalangan dan kemudaratan boleh berlaku di dapur atau berpunca dari dapur. Kebakaran, letupan gas, luka, simbahan minyak panas dan sebagainya boleh berlaku di dapur. Jika tidak menjaga kebersihan pula, boleh mengakibatkan keracunan makanan. Justeru di dapur juga perlu ada peraturan yang wajar diikuti.Jadi yang bekerja di dapur perlu mengikuti peraturan-peraturan asas. Peraturan-peraturan di dapur bukan untuk menyusahkan, tetapi demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan mereka yang bekerja mahupun yang bakal menikmati makanan yang disediakan.

Antaranya:

1. Ikat rambut dengan kemas jika anda berambut panjang, atau lebih elok pakai penutup kepala.

2. Basuh tangan dengan sabun hingga benar-benar bersih dan keringkan dengan tuala bersih.

3. Gunakan sarung tangan plastik (jika suka)Lakukan kerja dengan teratur – Gambar hiasan

4. Baca resipi dengan teliti, pastikan semua bahan dan peralatan yang diperlukan berada di dapur.

5. Bersihkan semua bahan-bahan yang ingin digunakan untuk memasak contohnya sayur-sayuran, buah-buahan, ikan, ayam dan lain-lain.

6. Jika anda perlu menggunakan ketuhar, panaskannya dahulu sebelum mengadun atau penyediaan bahan.

7. Jalankan kerja dengan teratur dan kemas. Cuba elak daripada tertumpah bahan semasa menyukat, mencampur atau mengacaunya.

8. Sukat bahan dengan betul, dan anda juga perlu bijak; jangan ikut secara membuta-tuli, adakalanya ada kesilapan pada resipi. Contohnya 100ml air dengan 1000ml air pasti memberi kesan berbeza kepada masakan. Gunakan logik.

9. Pastikan dapur atau ruang memasak sentiasa bersih. Lakukan kerja dengan tenang, kemas dan teratur; tidak bersepah, tertumpah sana-sini dan sebagainya.Pastikan dapur bersih dan kemas setelah menyiapkan kerja.

10. Setelah siap, bersihkan peralatan dan dapur. Simpan lebihan bahan dengan baik, sapu lantai dan lap bersih kawasan yang terkena tumpahan dan percikan.

11. Pastikan gas atau suis ditutup sebelum meninggalkan dapur.

Tip Tiga Perkara

Tip berkaitan bijirin, jagung dan kentang ini mungkin dapat membantu anda di dapur…


Menyimpan Bijirin

Bijirin mudah rosak apabila terdedah kepada udara kerana kandungan minyaknya. Sesetengah khasiat bijiran pula lebih cepat termusnah walaupun disimpan dengan cara yang betul jika terlalu lama. Maka anda perlu menyimpannya dengan cara terbaik;

* Simpan bijirin di dalam beg yang kedap udara dan masukkan dalam peti sejuk agar tidak mudah rosak disebabkan serangan serangga perosak.

* Simpan di dalam balang kedap udara di tempat sejuk dan kering.

* Bagi oat pula, bijirin ini tidak boleh disimpan terlalu lama kerana lemak yang terkandung di dalamnya mudah rosak. Jadi beli dalam kuantiti sedikit dan simpan dalam bekas kedap udara.

* Untuk beras juga, simpan di dalam bekas kedap udara dan untuk mengelakkan kutu beras, letakkan tujuh hingga lapan tangkai cili kering ke dalam tempat menyimpan beras. Pastikan cili-cili tersebut ditimbus di dalam beras.

Memilih Jagung

* Pilih tongkol berwarna hijau muda dan masih rapat dengan kulit luarnya. Ini menandakan isi jagung masih elok.

* Seeloknya jagung direbus atau dikukus sebaik dipetik untuk mengelakkan kemanisannya hilang.

* Semasa merebus jagung, jangan gunakan garam kerana garam akan menyebabkan jagung menjadi keras.

Kentang

* Pilih yang kelihatan segar, bukan yang sudah layu, berkulit keras, hijau, hilang warna asal atau sudah bertunas.

* Simpan di dalam beg nylon atau bekas berjaring di tempat yang bebas udara.

* Lebih baik dimasak secara membakar di dalam ketuhar atau dikukus berbanding merebus atau menggoreng. Ini adalah untuk mengekalkan kandungan zatnya.

Tangan Bersih Elak Jangkitan

Antara caranya ialah dengan mengambil langkah mudah seperti menjaga kebersihan tangan.

Menjaga kebersihan diri seperti ini boleh menjadi benteng utama dan terbaik yang boleh melindungi anda dan keluarga daripada dijangkiti penyakit berjangkit, termasuk yang berbahaya seperti H1N1.

Berikut adalah beberapa tip kebersihan yang boleh anda amalkan:

1. Perkara utama yang perlu dititikberatkan ialah kebersihan tangan. Basuh bersih menggunakan sabun tangan sebelum menyentuh makanan. Ajarkan juga anak-anak supaya membasuh tangan mereka sebelum duduk di meja makan atau sebelum memegang makanan, walaupun snek. Jangan lupa membersihkan tangan selepas makan.

2. Tangan juga perlu disental dengan sabun selepas keluar dari bilik air. Pencemaran najis boleh menyebabkan penyakit serius kepada kanak-kanak, orang tua dan wanita hamil. Pastikan kotoran di celah-celah jari dan kuku diberus serta dibersihkan dengan sempurna.

3. Bagi yang mengendalikan makanan, pastikan tangan dibasuh bersih menggunakan sabun. Ini termasuklah mereka yang menyediakan makanan serta menjaga anak kecil dirumah.

4. Pastikan sayur-sayuran dan buah-buahan dibilas dan dibasuh beberapa kali dengan air bersih.

Salad mentah memang enak, tetapi perlu dibasuh dengan air bersih beberapa kali agar selamat dimakan.

5. Jika anak anda menghidapi demam, selesema dan batuk, elakkan membawa mereka keluar. Imuniti atau daya tahan penyakit mereka ketika itu agak rendah dan mereka akan terdedah dengan lebih banyak kuman jika keluar rumah. Untuk mengelak jangkitan, gulakan cawan pakai buang apabila memberi mereka minum.

6. Sentiasa gunakan kertas tisu jika anak anda menghidapi selesema, hidung berair atau bersin. Elakkan sapu tangan kerana kuman yang tersimpan di sapu tangan boleh dipindahkan kepada orang lain, contohnya apabila menyentuh tombol pintu atau ketika berjabat tangan. Sebab itu, sediakan dan gunakan sanitiser.

7. Makanan yang disediakan di rumah adalah lebih selamat. Jika di luar, anda tidak dapat memastikan pekerja restoran menjaga standard kebersihan yang sepatutnya.

Makan di rumah lebih selamat kerana kebersihan makanan ketika makan di luar seperti di gerai, tidak terjamin.

Apapun, anda mesti menjaga tahap kesihatan melalui amalan hidup khususnya pemakanan yang seimbang dan berkhasiat. Pastikan anda mengambil makanan yang sempurna dengan phytonutrien serta yang boleh meningkatkan daya imun. Dapatkan tidur yang mencukupi, dan minum lebih banyak air serta jus.

Cara makan yang baik

Namun ada cara yang baik untuk anda amalkan demi menjaga kesihatan. Antaranya:

1. Bersihkan tangan sebelum menyentuh makanan, dan pilihlah tempat yang bersih untuk menikmatinya.

2. Makan perlahan-lahan, kunyah makanan dengan baik sebelum ditelan. Air liur mengandungi enzim yang membantu penghadaman. Enzim-enzim itu boleh menghadam sehingga 80 peratus kanci, 30 peratus protein dan 10 peratus lemak.

3. Jangan makan berlebihan. Fahamilah tubuh sendiri, anda tahu jumlah makanan yang patut diambil untuk sihat.

4. Buat keputusan lebih awal; banyak mana dan apa yang ingin anda makan, itu lebih baik daripada makan mengikut keinginan nafsu.

5. Apabila perut benar-benar lapar dan anda mahu mula makan, contohnya selepas berpuasa, amalkan minum jus segar yang tidak masam atau berasid.

6. Relaks, jangan gelojoh.

..Salah satu cara makan tidak sihat ialah, makan tanpa berfikir dan tidak melakukan aktiviti selepas itu.

7. Nikmati sepenuhnya makanan dan bersyukurlah.

8. Makanlah makanan yang sihat. Mulakan dengan sedikit sahaja, mungkin buah-buahan. Makanan yang berlemak, mempunyai kandungan garam dan gula terproses yang tinggi, tidak baik untuk anda.

9. Berfikir sebelum makan; adakah anda makan sebab lapar dan sepatutnya makan, atau kerana keinginan semata-mata?

10. Akhir sekali, lakukan aktiviti selepas makan. Bukan terus tidur ye….

Kuman Di Tangan & Dapur

Kebersihan tangan amat penting kerana tangan boleh merebakkan ribuan kuman ke dalam makanan dan membawa penyakit.

Sebab itu, adalah penting kita menjaga kebersihan tangan dan dapur; membasuhnya dengan air, sabun serta mengeringkannya. Jadikannya satu tabiat yang sihat. Ingat, pastikan tangan bersih dan dikeringkan:

1. Sebelum menyediakan makanan.
2. Selepas mengendalikan makanan segar, terutamanya daging.
3. Selepas ke tandas.

Di dapur, jangan lupa bersihkan tempat anda melakukan kerja-kerja penyediaan makanan, papan pemotong dan peralatan masakan. Perhatian lebih harus diberikan jika anda menyentuh daging mentah. Cuci sebersih-bersihnya tangan dan peralatan yang digunakan.

Satu lagi tempat yang menjadi tempat pembiakan kuman di dapur ialah kain pengelap, kain atau span pencuci pinggan. Walaupun kain-kain ini nampak bersih tetapi ia adalah tempat tumpuan kuman, terutamanya jika lembab. Jadi pastikan kain dan span yang digunakan di dapur bersih dengan membersihkannya dengan sabun serta dikeringkan.

Cuaca negara kita yang panas dan lembab menyumbang kepada pembiakan kuman. Sebab itu, jangan biarkan makanan terdedah lama, melebihi empat jam. Jika perlu membawa makanan keluar, gunakan bag atau kotak sejuk.

Beringatlah apabila membawa makanan keluar. Amalan yang perlu diberi perhatian ialah membawa makanan di dalam kereta tanpa dimasukkan dalam bekas sejuk. Di luar peti sejuk, 10 kuman boleh membiak kepada 1000 dalam tempoh 6 jam!

Malah jika tidak dikendalikan dengan betul, makanan yang disimpan di dalam peti sejuk juga boleh diancam kuman melalui jangkitan bersilang. Sebab itu, anda perlu:

1. Menyimpan daging berasingan daripada makanan yang sedia dimakan.

2. Tidak membenarkan air dari daging menitis ke makanan lain. Simpan di dalam bekas bertutup.

3. Pastikan makanan tidak disimpan lama dalam peti sejuk. Buangkan makanan yang telah tamat tempoh.

4. Sentiasa pastikan suhu peti sejuk adalah antara 0 darjah Celsius dan 5 darjah Celsius.

Perhatian khusus harus diberikan apabila mengendalikan daging. Pastikan airnya tidak menitis merata tempat dan daging dimasak dengan sempurna.

Apapun, kuman boleh dibunuh melalui memasak. Anda cuma perlu memastikan makanan yang dimasak benar-benar panas sehingga keluar wap daripadanya.

Perhatian khusus harus diberikan apabila memasak daging, ayam, burger atau sosej. Bahagian dalamnya perlu benar-benar masak dan segala kumannya mati. Perhatian sama harus diberikan apabila anda memanaskan makanan.

Makan Untuk Elak Diabetes

* Caranya adalah dengan mengubah gaya hidup; mengamalkan diet sihat, sentiasa mengawasi berat badan dan bersenam.

* Selain itu, amalkan tabiat makan yang sihat; bersederhana apabila makan, menepati waktu makan dan mengambil pelbagai buahan, sayuran serta bijirin penuh.

* Untuk mengelak diabetes, anda perlu makan lebih banyak sayuran, kurangkan karbohidrat, minuman bergula dan memilih lemak sihat berbanding lemak tidak sihat.

* Apabila makan, perhatikan diet dan tepati waktu makan. Elakkan snek atau mengambil makanan ringan di antara waktu makan seperti biskut, coklat dan gula-gula kerana ia akan memberi kesan kepada tahap gula dalam darah.

Lebihkan sayur-sayuran serta buah-buahan, dan kurangkan gula dalam diet anda.

* Makan sekadar mengalas perut saja. Seeloknya berhenti sebelum kenyang. Ingat, jumlah makanan yang anda suap ke mulut juga penting dalam menentukan tahap kesihatan. Jika makan terlalu banyak, berat badan akan bertambah dan ini adalah salah satu faktor diabetes.

* Pelan makanan yang baik, sama ada anda penghidap diabetes atau bukan adalah yang tinggi nutrien, rendah lemah dan sederhana dalam kalori. Anda perlu memberi penekanan kepada sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh.

* Mengelak atau mengawal diabetes melalui makanan tidak bermakna anda tidak boleh mengambil gula langsung. Anda masih boleh menikmati pemanis mulut contohnya, tetapi tidaklah banyak dan ia mestilah sebahagian daripada pelan makanan sihat serta diiringi senaman.

* Begitu juga dengan pengambilan karbohidrat seperti nasi dan roti. Anda masih boleh mengambilnya, tetapi dalam jumlah sedikit, dan dari jenis bijirin penuh yang merupakan sumber fiber yang baik. Fiber dihadam dengan lebih perlahan dan menyeimbangkan tahap gula dalam darah.

Bagaimana makanan boleh jadi ‘racun’?

Pengambilan makanan yang dicemari bakteria kadang kala dianggap remeh. Bagaimanapun,  seseorang boleh berhadapan penyakit yang boleh mengundang pelbagai komplikasi dan juga maut kerana sikap itu.

Baik sekiranya kita, terutama mereka yang terbabit dalam pengendalian makanan, memahami  beberapa perkara berkaitan keracunan makanan ini.

Mengapa keracunan makanan berlaku:

1. Akibat pengambilan makanan yang dicemari bakteria atau virus.
Organisma halus itu terus hidup dalam makanan yang dimakan dan membiak dengan banyak hingga membawa jangkitan. Kuman dalam makanan yang tercemar mengeluarkan toksin atau racun yang membahayakan kesihatan.

Jenis-jenis kuman:

Bakteria Salmonella dan Campylobacter  – membawa keracunan dikenali sebagai Salmonellosis dan Campylobacter enteritis. Bakteria-bakteria ini membawa jangkitan di bahagian perut serta usus dan ditemui dalam susu yang tidak dipasteur, air minuman yang tercemar, daging lembu, ayam serta telur.

Staphylococcus –  membawa gejala Staphylococcus aureus. Bakteria ini biasanya hidup di permukaan kulit, kerongkong dan hidung manusia. Ia berpindah pada makanan ketika dimasak atau disediakan dengan keadaan tangan berkudis atau tidak dicuci dengan sempurna selepas keluar dari tandas. Bakteria ini mengeluarkan toksin enterotoksin yang mengakibatkan keracunan makanan.

Clostridium botulinum – boleh ditemui di mana-mana, termasuk dalam air dan tanah, serta tidak mudah mati walaupun terdedah pada suhu tinggi. Bakteria ini mengeluarkan toksin neurotoksin yang memudaratkan kesihatan.

E-coli – membawa gejala E- coli enteritis. Bakteria ini membiak dalam air yang tercemar  atau tidak disuling dengan sempurna, atau dalam makanan yang disediakan dalam keadaan yang kotor. Ia mengeluarkan toksin endotoksin yang menyebabkan cirit-birit, muntah dan sakit perut yang boleh membawa maut, terutamanya di kalangan bayi dan kanak-kanak.

2. Akibat alahan.

Cendawan beracun, kulat dan juga bahan kimia dengan tanda-tanda yang sama, seperti muntah, cirit-birit, adakalanya berdarah, sakit perut, sakit kepala serta lenguh dan lemah di bahagian tangan,  kaki dan otot-otot. Bagi kes-kes yang serius, mulut, lidah, bibir dan muka terasa kebas dan bernafasan terhenti, terutamanya akibat cendawan beracun atau alanan pada cengkerang.

Keracunan makanan akibat alahan biasanya melibatkan makanan atau minuman tertentu seperti siput dan cengkerang, buah strawberi, ikan, susu lembu yang mempunyai kandungan laktosa yang tinggi dan sebagainya.

Keracunan akibat cendawan beracun boleh mengundang pelbagai komplikasi yang akhirnya membawa maut. Sebab itu, elakkan makan cendawan yang dipetik di hutan jika tidak kenal mana satu yang beracun dan mana satu yang selamat.

Kulat yang terdapat pada makanan yang disimpan pada suhu bilik bagi tempoh yang terlalu lama seperti roti dan kek juga boleh menyebabkan keracunan makanan. Begitu juga dengan keracunan bahan kimia, contohnya daripada kuali dan periuk yang digunakan untuk memasak dan juga ubat.

Tanda-tanda keracunan makanan boleh dialami seawal-awalnya beberapa minit sahaja selepas makan, terutamanya yang berpunca daripada bahan kimia hingga selewat-lewatnya 72 jam.

Tempoh pengeraman, ia itu dari saat makanan dimakan hinggalah ke saat pesakit mula muntah, penting bagi mengenal pasti punca keracunan yang dialami.

Salmonellosis biasanya berlaku antara 12-48 jam selepas makan,  E.coli enteritis antara 24 – 72 jam dan Clostridium botolinium 18 – 36 jam.

Serius atau tidak keadaan pesakit bergantung kepada faktor ketahanan badan, usia dan tahap kesihatan

Apa perlu dilakukan?

1. Segera ke klinik untuk mendapatkan rawatan apabila mengalami tanda-tanda awal seperti muntah dan cirit-birit.

2. Minum air secukupnya untuk menggantikan cecair yang hilang dalam tubuh badan.

3. Makan makanan lembut yang mudah dihadam.

4. Ambil ubat yang dibekalkan doktor untuk merehatkan perut.

Langkah pencegahan:

1. Utamakan kebersihan dan keselamatan makanan ketika menyimpan, menyediakan dan menghidang makanan di rumah.

2. Pastikan makanan berkeadaan bersih, dimasak sempurna dan cukup lama untuk membunuh kuman, terutamanya daging, telur, siput dan cengkerang.

3. Bersihkan tangan dengan air dan sabun setiap kali selepas keluar dari tandas sebelum menyentuh makanan.

Makanan Dalam Peti Sejuk Selamatkah Dimakan?

Peti sejuk memang menjadi tempat menyimpan makanan agar tahan lebih lama. Bakteria yang menyebabkan makanan basi atau cepat rosak, lazimnya tidak boleh membiak di dalam peti sejuk. Tetapi fakta ini benar sekiranya anda menjaga atau ‘mengurus’ peti sejuk dengan betul.

Untuk memastikan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk masih selamat dimakan, baca dan amalkan tip ini:

1. Pastikan suhu peti sejuk sentiasa berada pada suhu yang betul; antara 0 – 4 darjah celsius.

2. Bahagian sejuk beku perlu bersuhu -18 darjah celsius (0 darjah F) atau lebih rendah.

3. Pintu peti sejuk hendaklah sentiasa ditutup dan hanya dibuka apabila perlu sahaja.

4. Jangan simpan barang sehingga peti sejuk penuh, kerana udara perlu beredar untuk kekal sejuk.

5. Jika ingin menyimpan yang sudah dimasak, pastikan ia telah sejuk sepenuhnya sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.

6. Elak guna bahan pencuci berkimia untuk membersihkan bahagian dalam peti sejuk. Sebaliknya guna air suam yang dicampur dengan perahan jus lemon atau cuka putih.

7. Bersihkan peti ais seminggu sekali; periksa barang-barang yang disimpan, jika ada yang melebihi tarikh luput, buang saja.

8. Agar peti ais tidak berbau, simpan sekotak soda penaik (dibuka penutupnya) di dalam peti sejuk.

Tip Mengendalikan Daging

Sebab itu penyediaan makanan amat penting diberi perhatian.  Berikut adalah beberapa langkah keselamatan apabila menyediakan dan memasak daging:

  •  Simpan daging di bahagian paling sejuk dalam peti ais, sebaiknya jauh dari pintunya.
  •  Pastikan daging dibungkus kemas untuk mengelak airnya menitis.
  •  Simpan daging di bahagian sejuk beku jika ia tidak ingin dimasak dalam tempoh dua hari.
  •  Jika ingin menyimpan daging lebih dua bulan, tanggalkan pembalut asal, balut semula menggunakan foil aluminium yang tebal, dan masuk dalam beg plastik yang sesuai untuk simpan sejuk beku.
  •  Daging yang disejuk beku dengan betul masih selamat dimakan dan kekal kualitinya walaupun telah disimpan lama. Cuma pastikan ia masih baik ketika dimasukkan ke dalam peti sejuk.


Menyahsejuk beku (defrost/thaw)

Terdapat tiga cara untuk menyahsejuk beku:

  • Keluarkan daging dari bahagian sejuk beku dan simpan di bahagian lain dalam peti sejuk. Cara ini memakan lebih banyak masa, dan bergantung kepada saiz daging. Seekor ayam mengambil masa 24 jam hingga dua hari untuk dinyahsejuk beku. Jika dipotong-potong, ia boleh dinyahsejuk beku antara dua hingga sembilan jam.
  • Direndam dalam air sejuk.
  • Gunakan ketuhar  gelombang mikro.

Seperkara yang perlu diingat, pastikan hanya (jumlah) daging yang ingin dimasak sahaja dinyahsejuk beku. Elak menyahsejuk beku seketul besar daging, kemudian menyimpan semula daging berlebihan. Sebab itu, sebaiknya semasa menyimpan, bahagi-bahagikan daging mengikut jumlah kebiasaan yang dimasak, jadi mudahlah dinyahsejuk beku jumlah yang diperlukan sahaja.

Penyediaan

  • Pastikan papan pemotong dan peralatan yang digunakan semasa mengendalikan daging benar-benar bersih.
  • Untuk ayam: bilas bahagian dalam dan luar dengan air sejuk, dan keringkan dengan tuala kertas.
  • Daging akan terus memasak walaupun setelah diangkat dari api, jadi ia boleh dikeluarkan daripada ketuhar atau pemanggang awal sedikit, sebelum suhu mencecah tahap yang ditetapkan.

Makanan Selamat Semasa Beriadah

Jika mahu tinggal di tempat-tempat itu beberapa hari, bekalan makanan sepanjang tempoh itu perlu difikirkan. Mana tidaknya, jika silap makan, anda dan keluarga, terutama anak-anak kecil akan berhadapan masalah cirit-birit atau diarea.

Penyebab utama diarea ialah minuman atau makan yang dijangkiti kuman kerana penyimpanan atau persediaan yang tidak sempurna. Tambahan cuaca negara kita yang panas menyebabkan makanan lebih cepat difermentasi atau menjadi masam.

Makanan yang mengandungi susu, gula dan kanji contohnya amat mudah difermantasi atau menjadi masam. Sebab itu, jika anda membawa susu untuk anak kecil, berhati-hatilah agar bayi tidak menghadapi cirit-birit.

Pastikan susu yang siap dibancuh dihabiskan pada masa itu juga dan tidak disimpan lebih daripada dua hingga empat jam. Adalah lebih baik anda membawa susu tepung dan air panas dalam termos agar susu anak boleh dibancuh apabila diperlukan. Jika begitu, anda juga perlu memastikan botol yang digunakan disimpan bersih dan tidak tercemar.

Nasi lemak (dengan sambal ikan bilis, kacang goreng, timun, telur rebus, ikan bilis dan kangkung celur) serta sandwic (dengan telur, sardin, timun, tomato dan salad) menjadi bekalan kegemaran apabila beriadah di luar. Makanan ini baik kerana merupakan hidangan seimbang; ada karbohidrat, sayur, protein dan sebagainya.

Sungguhpun begitu, berhati-hati apabila membawanya. Asingkan bahan-bahan nasi lemak dalam bekas berasingan, dan jika anda menyediakan sandwic lengkap dari rumah, pastikan ia dimakan dalam masa dua hingga empat jam. Ingat, dalam cuaca panas makanan mikro organisme cepat membiak dan makanan mudah rosak.

Buah-buah juga elok dibawa kerana selain membekalkan zat vitamin C, B dan A, buah-buahan juga mengandungi air serta fiber bagi mengelak sembelit. Pilihlah yang boleh disimpan lama seperti limau, epal, jambu batu atau oren.

Makanan lain yang berkhasiat dan menambahkan pengambilan tenaga seperti kacang tanah, kacang kuda rebus, buah-buahan kering, biskut tawar dan sebagainya juga elok dibawa bersama.

Selain air kosong, bawa juga minuman daripada air buah-buahan yang disejukkan dalam bekas yang diletakkan ais. Anda juga boleh membawa air kotak seperti air kacang soya atau air buah-buahan. Sebaiknya elakkan minuman berkarbonat yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Seperkara yang penting diingati ialah, minum air yang sudah dimasak dan elakkan membeli atau menambah ais kerana ketulan ais yang dijual di kedai-kedai lazimnya menggunakan air yang tidak dimasak.

Cekur Legakan Penyakit

Nama botani cekur ialah Kaempferia galanga, dan tergolong dalam famili Zingiberacea.  Dalam bahasa Thai, cekur dikenali dengan nama Pro hom.

Herba yang tidak berbatang ini tumbuh melebar di atas tanah. Bentuknya seperti kunyit tetapi berwarna coklat kekuning-kuningan. Tumbuhan bersaiz kecil ini mempunyai daun dalam anggaran dua hingga tujuh helai. Daunnya berbentuk bujur tirus, licin dan tersusun dalam pasangan yang bertentangan. Bahagian hujung daunnya agak runcing dan saiznya boleh mencapai 15 sentimeter panjang dan 10 sentimeter lebar.

Selain itu, cekur juga mempunyai bunga berwarna putih keunguan. Pada bahagian rizomnya pula terdapat ubi-ubian berbentuk seakan-akan jari. Apa yang istimewanya tentang tumbuhan ini adalah tentang daun dan akarnya yang mempunyai aroma yang unik serta membangkitkan selera.

Kegunaan

Dalam perubatan tradisional Melayu, rizom cekur sering digunakan sebagai salah satu ramuan untuk mengubati beberapa jenis penyakit seperti kembung perut, batuk, muntah, sakit urat dan beberapa penyakit lain. Caranya adalah dengan memakan bahagian rizomnya secara segar. Ada juga yang minum air perahan rizomnya untuk mengatasi penyakit-penyakit tersebut.

Manakala dalam perubatan tradisional Cina, akar rizom cekur yang telah matang dibersihkan untuk diluntur dengan asap sulfan (sulfan atau sulfur trioxide adalah bahan kimia yang bersifat mengakis dan sesuai dijadikan peluntur) selama sehari sebelum dijemur kering. Rizom cekur tersebut kemudiannya digunakan untuk mengatasi masalah sakit gigi, menghilangkan kelemumur dan membunuh kutu di kepala.

Selain itu, perubatan tradisional Cina turut menggunakan bahagian rizom cekur yang segar untuk mengatasi masalah sembelit, sakit kepala dan membuang angin dalam perut.

Di Indonesia,  wanita di sana menggunakan rizom cekur sebagai salah satu bahan dalam pembuatan jamu dan tonik. Bagi melegakan selesema, caranya mudah sahaja; pesakit hanya perlu menghidu bau rizomnya.

Di samping itu, daun cekur banyak digunakan oleh masyarakat tempatan sebagai ulam-ulaman. Orang tua-tua berpendapat bahawa daunnya mampu menambah selera makan.

Selain berguna dalam mengubati penyakit tertentu, cekur turut bermanfaat untuk wanita selepas bersalin. Rizom cekur dipercayai dapat menghangatkan bahagian perut, mengurangkan bengkak, kebas otot dan menyembuhkan luka di dalam perut.

Malah amalan meminum air asam jawa bersama campuran cekur sepanjang tempoh berpantang mampu mengempiskan perut.

Bagi ibu-ibu yang mengalami masalah kekurangan susu badan pula, anda boleh mengambil inisiatif dengan mengamalkan makan cekur bersama kunyit dan pucuk betik. Amalan ini berupaya menambahkan kuantiti susu badan anda.

Info penting

1. Mereka yang ingin mengamalkan pengambilan pokok cekur sebagai sebahagian bahan dalam tonik dan jamu, dinasihatkan supaya merujuk kepada ahli botani yang diiktiraf terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya hal-hal yang tidak diingini.

2. Pesakit dinasihatkan agar menghentikan pengambilan rizom cekur jika berlaku kesan buruk pada kesihatan selepas pengambilan herba ini. Segera dapatkan rawatan di hospital atau klinik yang berdekatan untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

3. Awas! Bagi mereka yang tidak gemar memakan tumbuhan herba, rasa cekur amat pahit.

Cara Mengawal Penggunaan Garam

1. Cara paling mudah ialah jangan menggunakan garam berlebihan di dalam masakan, cukuplah sedikit saja sekadar berasa.

Makanan yang diawert mengandungi banyak garam. Cuba elakkannya.

2. Elakkan makan berlebihan bahan makanan yang diawet dengan garam seperti telur masin, ikan masin, sayur asin dan sebagainya. Sesetengah bahan ini boleh direndam di dalam air terlebih dahulu untuk mengurangkan kemasinannya. Jika mahu juga makanan yang diawet ini, pilihlah yang diawet dengan sedikit garam saja.

3. Jangan sentiasa menambah kicap, sos tomato, sos cili atau garam semasa menikmati hidangan di meja.

4. Sesetengah makanan ringan seperti keropok, kerepek, kacang dan sebagainya mengandungi garam terlalu tinggi. Cuba elakkannya.

5. Pilih hidangan yang kurang menggunakan garam seperti ikan bakar bercecah air asam dan ulam-ulaman segar berbanding sayur goreng yang ditambah kicap atau sos tiram.

Selain garam, banyak bahan lain boleh digunakan sebagai perisa hidangan.

6. Gunakan bahan-bahan rempah atau herba lain boleh yang menambah rasa masakan selain garam.

Membuang toksid

BAHAN-BAHAN:

1 biji epal

Daun saleri

CARA-CARA:

1. Kisarkan epal hijau dengan daun saleri.

2. Amalkan meminum jus ini setiap pagi sebelum memulakan sarapan.

NOTA:

Ia dapat membersihkan saluran usus serta membuang toksid dengan pantas menerusi sistem pencernaan. Zat masam epal hijau merupakan pembersih tubuh yang sangat baik. Juga sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah sembelit atau penghadaman.

Mengubati batuk

BAHAN-BAHAN:

6 helai daun peria

Sedikit kapur sirih

CARA-CARA:

1. Mula-mula, tumbuk daun peria sehingga lumat.

2. Kemudian, campurkan bahan tumbuk dengan sedikit kapur sirih.

3. Sapukan bahan tadi di bahagian dada.

3. Sebaiknya, lakukan sebelum masuk tidur dan anda dapat rasai kesannya pada keesokan hari.

Mengubati cirit-birit

Ciku kaya dengan pelbagai khasiat semulajadi. Buahnya yang muda boleh digunakan untuk mengubati cirit-birit iaitu dengan mencampurkan bersama jambu muda dan kemudiannya direbus.

Getahnya pula, boleh diguna untuk mengurangkan sakit gigi, merawat kulit melecur dan bengkak.

Merawat masalah pernafasan

Buah lemon mengandungi vitamin C dan jika diminum air rebusannya, boleh dijadikan sebagai rawatan masalah pernafasan dan sakit belakang.

Selain itu, ia juga dapat membunuh cacing di dalam perut dan usus serta dipercayai dapat mengubati demam panas.

Kepingan limau segar atau kering yang dicampur bersama air didih atau rebus, dapat mengubati masalah gastric yang kronik, batuk, tiada selera makan, muntah-muntah, bronchitis dan angin di dalam perut.

Mengatasi sembelit

Tahukah anda, buah epal dapat membantu melindungi jantung, mengelak sembelit, cirit-birit, melindungi sendi tulang dan memperbaiki kapasiti peparu?

Amalan memakan buah epal boleh mencuci toksin di dalam badan. Malah, dengan menghidu epal dapat menenangkan fikiran.

Epal elok dimakan tanpa kulit atau dimasak sedikit supaya tidak mengurangkan kandungan vitamin C dan serabut yang terdapat di dalamnya jika berhasrat untuk mendapatkan khasiat herba.

5 Tip dan Info

Lemon bukan sahaja mengenakkan makanan dan minuman tetapi boleh diguna sebagai bahan pembersih.

Guna Lemon Bersihkan Papan Pemotong

Sama ada anda menggunakan papan pemotong yang diperbuat daripada kayu atau plastik, anda boleh membersihkannya dengan lemon. Bagi papan pemotong kayu, gosok dengan hirisan lemon di bahagian yang kotor. Manakala untuk papan pemotong plastik, perah jus lemon dan gosok di permukaan yang kotor. Biarkan selama 20 minit sebelum dibilas dengan air bersih. Asid dalam jus lemon berkesan sebagai pembersih.

Cuka Sebagai Bahan Pencuci

Sabun memang sering digunakan untuk membersih di dapur. Sungguhpun begitu ada bahan lain yang boleh menggantikannya; cuka.

Cuka memang tahan dan lazimnya selalu disimpan lama kerana anda hanya menggunakan sedikit untuk memasak. Jika anda mempunyai banyak cuka berlebih, apa kata gunakannya sebagai bahan pembersih? Cuka berkesan digunakan untuk membersihkan kesan gris atau berminyak, contohnya permukaan serta celah-celah dapur masak atau penunu. Masukkan cuka dalam botol spray, sembur ditempat berminyak dan gosok bersih. Bukankah ini juga menjimatkan?

Selain cuka, anda juga boleh membuat bahan pembersih dengan mencampurkan sedikit bahan peluntur dengan air. Sungguhpun begitu, jangan campurkan bahan tersebut dengan air panas kerana bahan peluntur akan meluap dan hilang keberkesanannya.

Selain itu, jangan sesekali mencampurkan bahan peluntur dengan produk pembersih lain yang mengandungi amonia seperti bahan pembersih cermin.

Dapur yang bersih bukan sahaja sedap mata memandang, tetapi juga selamat daripada ancaman bakteria.

Sumber Bakteria

Tahu tak dari mana sumber bakteria yang memudaratkan seperti E. Coli, Salmonella, Staphylococcus dan sebagainya, paling mudah ditemui di dapur anda?

Jawapannya ialah di span pencuci dan kain pengelap! Itulah yang ditemui dalam kajian di Amerika.

Span pencuci dan kain pengelap yang basah menyediakan sumber kelembapan dan tempat yang gemar dihinggapi bakteria. Jadi pastikan setelah diguna, span pencuci dan kain itu dibersihkan dengan sabun dan dikeringkan.  Anda juga boleh membunuh bakteria itu dengan memanaskan kedua-duanya di dalam ketuhar gelombang mikro selama 60 saat.

Tepung Naik Sendiri

Tepung naik sendiri atau self raising flour boleh dibuat sendiri di rumah. Caranya mudah saja; campurkan satu cawan tepung gandum biasa dengan 1 1/2 sudu kecil serbuk penaik (baking powder) dan 1/2 sudu kecil garam.

Kismis hitam baik untuk otak.

Kismis anggur hitam yang dikeringkan mengandungi kandungan gula yang tinggi. Antara jenis gula yang terkandung di dalam kismis adalah fruktosa dan glukosa. Gula ini dapat meningkatkan daya pemikiran otak, menajamkan memori dan menguatkan daya ingatan. Otak memerlukan gula untuk berfungsi dengan baik, dan kismis dapat menyediakan keperluan gula dalam kuantiti yang banyak dan cepat. Jadi, apa kata gunakan lebih kismis dalam masakan anda?

Resepi Masakan

Laksa lebih putih

BAHAN:

Asam keping

Semangkuk air

CARA-CARA:

1. Mula-mula, rendam dahulu laksa bersama asam keping di dalam air.

2. Biarkan semalaman.

3. Keesokan harinya, bolehlah anda rebuskan laksa tersebut seperti biasa.

Ulam Kekal Rangup

 Ulam sering dijadikan sebagai menu sampingan yang boleh menaikkan selera makan. Namun, ulam akan menjadi layu sekiranya terdedah terlalu lama.

Oleh itu, bagi mengekalkan kesegaran dan kerangupannya, rendamkan ulam beberapa minit dalam air yang telah dicampurkan dengan sedikit cuka dan perahan limau nipis. Biar seketika barulah diangkat.

Tauhu goreng lebih enak

BAHAN:

Santan

Serbuk perasa

CARA-CARA:

1. Campurkan sedikit serbuk perasa di dalam santan.

2. Kemudian, rendamkan tauhu di dalam santan tersebut.

3. Biarkan selama 10 minit.

4. Setelah itu, toskan dan goreng seperti biasa.

Tauhu kekal segar

BAHAN:

Garam

CARA-CARA:

1. Cuci dahulu tauhu seperti biasa.

2. Kemudian, lumurkan garam ke seluruh permukaan tauhu.

3. Simpan ia di dalam peti sejuk.

4. Tauhu yang disimpan, akan bertahan lebih lama malah rasanya tidak akan masam.

(Cara 2)

BAHAN:

Limau nipis

Semangkuk air

CARA-CARA:

1. Mula-mula, masukkan tauge ke dalam semangkuk air.

2. Kemudian, perahkan limau nipis ke dalam mangkuk tersebut.

3. Gaulkan sehingga sebati.

4. Simpan di dalam peti sejuk. Tauge yang disimpan akan bertahan lebih lama.

Bahulu lebih enak

BAHAN:

3 kuntum bunga lawang

CARA-CARA:

1. Mula-mula, pukul telur seperti biasa.

2. Kemudian, masukkan 3 kuntum bunga lawang ke dalam bekas telur yang dipukul tadi.

3. Setelah itu, anda bolehlah membancuh dan masak adunan seperti biasa.

4. Rasa bahulu akan lebih lazat dan tidak hanyir.

Membersihkan minyak kelapa

BAHAN:

Asam gelugur

CARA-CARA:

1. Goreng asam gelugur di dalam minyak masak yang telah digunakan.

2. Anda dapat lihat, asam gelugur tadi akan meresap minyak berwarna hitam.

3. Setelah bersih, anda bolehlah menggunakan minyak kelapa ini untuk beberapa kali.

Awas Makanan Dicemari Kulat!

Jika terdedah kepada Aflatoksin pada aras yang tinggi dan berpanjangan, ia boleh menyebabkan barah hati dan keracunan makanan. Sekiranya seseorang berpenyakit hepar atau mempunyai jangkitan virus hepatitis B, dia juga lebih berisiko.

Antara kumpulan makanan yang biasa dicemari Aflatoksin adalah, kacang tanah, pistachio, mentega kacang, badam, jagung, beras, gandum, sekoi, minyak kacang soya, minyak jagung, minyak biji matahari, cili, lada hitam, kunyit, halia, ketumbar dan sebagainya.